Merdekaaa!

I have written this post in Bahasa Malaysia in conjunction with Malaysia's 50th Independence day. Wish all my fellow Malaysians, Happy Merdeka!!! Let's hope and pray for our country to be blessed with peace, harmony, corruption-free governance, great leaderships and racial unity.


Dalam membuka lembaran sejarah silam Malaysia, yakni selepas genap lima dasawarsa suara Merdeka bergema, pelbagai kejayaan telah menjadi maskot kebanggaan Negara, sekaligus memahatkan nama Malaysia di arena antarabangsa. Kini semuanya diagungi dengan detik kegemilangan yang sedang menandakan sambuatan 50 tahun kemerdekaan Malaysia daripada jajahan British. Pada tahun 1957, inilah saat-saat bendera Union Jack diturunkan, inilah waktu lagu 'God Save the Queen' dinyayikan buat kali terakhirnya di tanah merdeka ini, dan inilah hari mulia yang menandakan permulaan perjalan rakyat Malaya menuju gerbang kejayaan. Pada hari ini, sudah pun kita sampai di pertengahan abad pertama. Saat ini, kegemilangan dan semangat kemerdekaan kelihatan bersinar bagai mentari dan sedang merebakkan sayap-ruyupnya ke setiap pelosok negara, menerajui minda anak-anak Malaysia yang bakal membentuk imej Swarnabumi di kaca mata dunia. Hari ini, seruan keramat Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj akan kembali bergema lagi. Kali ini, kita akan mendengar laungan yang lebih kuat, kita akan melihat jalur gemilang berdiri lebih megah, berkibar lebih tinggi dan kita akan menyaksikan limpahan cahaya yang terang-benderang menandakan saat-saat ulangtahun kemerdekaan Malaysia yang ke lima puluh. Hari ini bukan sekadar menyambut hari kemerdekaan negara. Kita juga memperingati semangat memperjuangkan kebebasan dan kecekalan untuk terus mara ke hadapan biarpun rintangan dan dugaan menunggu menghalang. Marilah kita merayakan segala yang menyumbang ke arah tercapainya impian kita di hari ini. Selamat Hari Kebangsaan!

-Puvanan Nadaraja


0 comments to "Merdekaaa!"